Sayu : Kami hanya ingat MATI .. sangat dasyat arus deras kepala air (2Gambar)

KUALA KUBU BHARU : Dua lelaki berdepan detik cemas selepas terperangkap di atas batu besar berikutan arus deras kepala air di Air Terjun Kampung Orang Asli Pertak, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa, Abdul Arif Fikri Ismail, 20 dan Muhamad Shamsuri Samsudin, 40 terperangkap kira-kira sejam sebelum diselamatkan oleh anggota bomba.
Jurucakap bomba berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.10 petang, seramai enam anggota diketuai Komander Operasi Rosdi Shafie dikerahkan dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
“Kedua-dua mangsa terperangkap di atas sebuah batu besar akibat kepala air yang turun dengan deras selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
“Bomba menggunakan peralatan tali untuk membawa kedua-dua mangsa menyeberangi sungai dan berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakannya sedang dalam perjalanan pulang selepas mendaki Bukit Kutu pada sebelah pagi.
Bagaimanapun, salah seorang rakan mangsa berjaya berenang ke tebing tetapi dua lagi hanya sempat untuk memanjat batu besar yang berada di tengah sungai tersebut. - K! ONLINE