Sayu : Foto SELFIE terakhir adik Nur Dhamirah bersama PAPA nya Arwah Mohd Ridzuan (4Gambar)

SHAH ALAM : “Nak balik...,” itulah raungan Nur Dhamirah Izzati, 4, sebaik dia yang didukung ibunya, Siti Anida Lihat, 35, menatap jenazah bapanya di Bilik Mayat Hospital Shah Alam di sini, petang semalam.

Raungan anak sulung Allahyarham Mohd Ridzuan Yusof itu, sekali gus membuatkan seluruh pegawai dan anggota JPJ yang berada di situ sebak.

Pada masa sama, Siti Anida nyaris rebah kerana terkejut, namun dia disambut beberapa pegawai JPJ wanita di situ.

Siti Anida dibawa dari Melaka dengan menaiki kereta rasmi JPJ mengakui, dia tidak tahu suaminya telah meninggal dunia.


“Sebelum itu, rakan bertanyakan saya mengenai berita suami yang viral dan disiarkan di portal-portal berita.

“Saya hanya percaya suami dah tiada sebaik tiba di sini dan menatap sendiri jenazahnya,” katanya sebak.

Jelasnya, pihak JPJ memaklumkan Mohd Ridzuan, 34, kemalangan dan tidak memberitahu telah meninggal dunia.

“Saya yakin mereka tak mahu saya patah semangat. Saya seakan tak percaya suami dah tak ada kerana baru beberapa hari lepas, kami bertemu apabila arwah pulang ke kampung di Bukit Rambai, Melaka,” katanya.

Beliau yang sedang hamil enam minggu anak kedua itu mengakui, sejak kebelakangan ini arwah kerap menghabiskan masa bersama mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, arwah disifatkan pekerja yang rajin dan cemerlang.

“Dia pernah menerima anugerah khidmat cemerlang bulanan,” katanya di Bilik Mayat Hospital Shah Alam.
Jenazah Mohd Ridzuan selamat disemadikan di Melaka, lewat petang semalam.