Sayu : Mayat dibedah kali kedua .. dia maut sebulan koma selepas dibelasah dipenjara (3Gambar)

KOTA BHARU : Seorang tahanan yang koma selepas membuang usus pecah dipercayai akibat dibelasah di Penjara Pengkalan Chepa, bulan lalu, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, pagi semalam.

Azri Mohamed, 27, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan pada jam 7.45 pagi.

Adiknya, Norsyazmira, 23, berkata, dia melawat abangnya minggu lalu dan mangsa sedar dari koma, tetapi hanya mampu membuka mata, namun tidak dapat bercakap.

“Tiga hari kemudian abang kembali tidak sedarkan diri sehinggalah saya menerima panggilan telefon dari pihak hospital pada pagi ini (semalam) memaklumkan abang sudah meninggal dunia kerana jangkitan kuman pada usus,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HRPZ II, di sini, semalam.

Menurutnya, anak keempat daripada tujuh beradik itu ditahan pada Aidilfitri kelima, Julai lalu atas kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

Katanya, pada 15 Ogos lalu, Azri dikejarkan ke Wad Kecemasan HRPZ II oleh pihak penjara kerana mengadu sakit pada bahagian dada dan perut kemudiannya menjalani pembedahan membuang usus serta-merta kerana usus itu cedera berkemungkinan berpunca daripada perbuatan pukul.

“Pada 10 Ogos, ketika melawat abang di penjara, saya lihat dia tidak bermaya, cengkung dan tidak mampu berjalan berbeza sewaktu dimasukkan ke penjara itu pada pertengahan Julai lalu.

“Dia bertubuh gempal bertukar kurus, malah turut dipapah seorang lagi abang dan sepupu yang turut ditahan bersama-sama. Dia memberitahu sakit kerana dipukul, namun tidak menyebut siapa yang memukulnya,” katanya.

Norsyazmira dan keluarga yang tidak berpuas hati dengan kejadian menimpa abangnya itu membuat laporan polis bagi mendapatkan kepastian dan keadilan bagi Azri.

“Saya reda ajalnya sudah tiba dan tindakan ini (membuat laporan) hanya mahukan kepastian punca kematiannya kerana sebelum ini dia tidak menunjukkan tanda-tanda sakit.

“Saya menunggu jenazah dibedah siasat sebelum membawa pulang ke kampungnya di Bechah Hangus, Ketereh dan dikebumikan di sana,” katanya.

Namun begitu mayat dibedah siasat kali kedua oleh Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Proses bedah siasat kedua itu dibuat susulan keluarga mangsa yang tidak berpuas hati dengan keputusan ujian pertama bedah siasat yang dijalankan.
Share on Google Plus

About Brothers Sam

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan