Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Sem­bilan, Superintendan Md. Dali Wahid berkata, dalam kemalangan pada kira-kira pukul 11.30 malam itu, empat orang yang lain termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun turut maut manakala dua orang cedera parah dan seorang cedera.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta jenis Produa Kenari yang juga guru J-QAF di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemas, Roslilah Maamor, 40, dan anak lelakinya Fawwaz Ahmad Syahraizan ber­usia sembilan tahun.


Menurutnya, empat mangsa yang lain ialah pemandu kereta Proton Wira, Muhamad Hazreen Saadon, 22, yang juga guru KAFA dan tiga penumpang­nya, Mohamad Haizal Mohamad Radzi, 20; Muhammad Mu’az Mohamad, 13, dan Muhamad Rizuwan Abdullah, 19.

“Dua mangsa meninggal ­dunia di tempat kejadian manakala tiga yang lain meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor dan seorang di Hospital Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

“Mangsa yang cedera parah ialah dua penumpang Wira iaitu Mohd. Naimullah Che Roselee, 13, dan Muhammad Aiman Abdullah, 14, manakala suami Roslilah, Ahmad Syahraizan Omarudin, 40, yang memandu sebuah kereta Toyota Avanza mengalami kecederaan di tangan dan kepala,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Wira dari arah Gemas menghala ke Tampin ­gagal mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta ­Kenari.

Akibat daripada rempuhan itu, jelasnya, kereta Kenari tercampak ke bahu kiri jalan manakala kereta Wira bertembung pula dengan Avanza yang mengekori Kenari.

“Roslilah bersama anaknya dalam perjalanan pulang dari Sungai Kelamah menghala balik ke rumahnya di Gemas sementara suaminya yang juga Imam Masjid Jamek Gemas mengekorinya dari belakang,” ujarnya.

Md. Dali berkata, Mohd. Nai­mullah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tampin, manakala Muhammad Aiman yang mengalami kecede­raan di kepala dirawat di Hospital Segamat.

Katanya, tiga mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin dan tiga lagi mayat ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

“Keadaan jalan di lokasi kejadian berselekoh dari arah Gemas dengan sistem jalan dua hala dan garisan tengah pembahagi jalan berkembar,” katanya. -Utusan