Sayu : Datuk Dr Haron Din dilaporkan dalam keadaan kritikal (2Gambar)

KUALA LUMPUR : Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika menjalani rawatan jantung di sebuah hospital di San Francisco, Amerika Syarikat (AS). 

Penceramah terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi laman status Facebooknya memberitahu, pihak hospital menghubungi keluarga Haron pada jam 5 pagi (waktu tempatan, 8 malam waktu Malaysia), memaklumkan beliau dimasukkan ke ICU dan meminta keluarganya segera datang.

"Tuan Guru Datuk Haron Din mempunyai komplikasi di jantung dan dimasukkan di ICU. Dua anak Tuan Guru bersama doktor sekarang.

"Keluarga yang lain menunggu di luar. Masih belum dapat berita penuh dari dalam. Mohon doa kalian," kata Ahmad Dusuki menerusi status yang dimuat naik kira-kira dua jam lalu. Difahamkan, Haron berlepas ke AS sejak beberapa hari lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.


Pada Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada. Beliau sebelum ini beliau pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford, San Francisco, AS pada 2 April 2012.-Berita Harian